Kabinet lulus memorandum ganti HDC berkuat kuasa serta-merta
Selain itu, beliau berkata, keputusan berkenaan juga diharap meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa sijil halal dikeluarkan oleh Jakim sebagai agensi kerajaan yang sudah utuh dalam bidang terbabit. "Memang tumpuan besar HDC ialah untuk (pengeluaran) produk sebab kita hendak melihat ia (berkembang) bukan hanya pada peringkat serantau, tetapi juga global. Justeru, kita lihat agak kurang sesuai pengeluaran sijil halal diletakkan di bawah tanggungjawab HDC dalam kadar tugasannya yang begitu luas dan besar. "Malah, permintaan kepada halal begitu tinggi pada peringkat antarabangsa. Justeru, sudah sampai masanya dipisahkan tanggungjawab pengeluaran produk dan tugas mengeluarkan sijil halal dikembalikan kepada Jakim," katanya pada sidang akhbar di lobi Bangunan Parlimen di sini, semalam.
Berikutan itu, Jamil Khir berkata, perjawatan yang dipinjamkan kepada HDC, termasuk dari Kementerian Kesihatan, dikembalikan kepada pihak Jakim untuk membantu memperkukuh pensijilan halal. "Logo halal yang sama akan digunakan, manakala sijil halal sedia ada (yang sudah dikeluarkan oleh HDC sebelum ini) berjalan seperti biasa kerana ia mematuhi audit kepatuhan," katanya. Selain itu untuk memperkasa industri halal negara, beliau berkata, beberapa langkah sedang diteliti, termasuk dari segi perundangan dan kaji selidik, bagi memastikan produk dikeluarkan bukan saja diperakui melalui sijil, tetapi juga lebih berdaya saing serta berkualiti. Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan merancang untuk menyediakan sebuah institut halal di bawah pengurusan Jakim, di samping meneliti beberapa akta berkaitan yang perlu diperkukuhkan.
"Kita juga akan melihat ke arah mempercepatkan proses permohonan. Saya berharap dengan penyerahan kembali peranan mengeluarkan sijil halal ini, Jakim akan membuat pengukuhan dari segi kaedah pengeluaran, proses yang cekap dan tidak mengambil tempoh panjang. "Kita faham produk ini perlu berdaya saing tinggi dalam pasaran. Maka jika produk lambat keluar, menyebabkan mungkin persaingan itu akan menjadi lambat dan sebagainya," katanya. Selain itu, Jamil Khir berkata, kerjasama rapat akan dijalinkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke arah memastikan penguatkuasaan pensijilan untuk membanteras gejala sijil halal palsu.