Friday, July 10, 2009

Jakim ambil alih proses sijil halal

Oleh Syuhada Choo Abdullahchoo@bharian.com.my

Kabinet lulus memorandum ganti HDC berkuat kuasa serta-merta
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil alih semula peranan daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk mengendalikan urusan pengeluaran sijil halal, berkuat kuasa serta-merta. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata Kabinet meluluskan memorandum mengenai perkara itu yang dikemukakan oleh pihaknya dalam mesyuarat, kelmarin. Katanya, langkah itu bertujuan memperkasa kewibawaan HDC yang terbabit dalam usaha pembangunan hab halal, supaya semakin berdaya saing dan dapat memberi tumpuan kepada proses pengeluaran produk mereka sehingga ke peringkat global.

Selain itu, beliau berkata, keputusan berkenaan juga diharap meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa sijil halal dikeluarkan oleh Jakim sebagai agensi kerajaan yang sudah utuh dalam bidang terbabit. "Memang tumpuan besar HDC ialah untuk (pengeluaran) produk sebab kita hendak melihat ia (berkembang) bukan hanya pada peringkat serantau, tetapi juga global. Justeru, kita lihat agak kurang sesuai pengeluaran sijil halal diletakkan di bawah tanggungjawab HDC dalam kadar tugasannya yang begitu luas dan besar. "Malah, permintaan kepada halal begitu tinggi pada peringkat antarabangsa. Justeru, sudah sampai masanya dipisahkan tanggungjawab pengeluaran produk dan tugas mengeluarkan sijil halal dikembalikan kepada Jakim," katanya pada sidang akhbar di lobi Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Berikutan itu, Jamil Khir berkata, perjawatan yang dipinjamkan kepada HDC, termasuk dari Kementerian Kesihatan, dikembalikan kepada pihak Jakim untuk membantu memperkukuh pensijilan halal. "Logo halal yang sama akan digunakan, manakala sijil halal sedia ada (yang sudah dikeluarkan oleh HDC sebelum ini) berjalan seperti biasa kerana ia mematuhi audit kepatuhan," katanya. Selain itu untuk memperkasa industri halal negara, beliau berkata, beberapa langkah sedang diteliti, termasuk dari segi perundangan dan kaji selidik, bagi memastikan produk dikeluarkan bukan saja diperakui melalui sijil, tetapi juga lebih berdaya saing serta berkualiti. Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan merancang untuk menyediakan sebuah institut halal di bawah pengurusan Jakim, di samping meneliti beberapa akta berkaitan yang perlu diperkukuhkan.

"Kita juga akan melihat ke arah mempercepatkan proses permohonan. Saya berharap dengan penyerahan kembali peranan mengeluarkan sijil halal ini, Jakim akan membuat pengukuhan dari segi kaedah pengeluaran, proses yang cekap dan tidak mengambil tempoh panjang. "Kita faham produk ini perlu berdaya saing tinggi dalam pasaran. Maka jika produk lambat keluar, menyebabkan mungkin persaingan itu akan menjadi lambat dan sebagainya," katanya. Selain itu, Jamil Khir berkata, kerjasama rapat akan dijalinkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke arah memastikan penguatkuasaan pensijilan untuk membanteras gejala sijil halal palsu.
p/s: beri pendapat anda

Monday, June 22, 2009

Penyembelihan Halal – Bahagian Kedua


Penyembelihan Moden.



Untuk makluman pembaca, sekarang di Malaysia terdapat rumah sembelihan ayam dan juga kilang memproses makanan berasakan ayam seperti nugget, sosej, dan sebagainya. Antara jenama yang terkenal ialah Ayamas (Port Klang), Dindings (Setiawan), Ayam Madu (Ipoh), Huat Lai (Melaka) Farm Best (Melaka), dan lain-lain. Boleh dikatakan kesemua rumah sembelihan dan kilang ini mempunyai sijil Halal daripada Halal Industry Development Corporation (HDC) (dulunya JAKIM) ataupun sijl Halal daripada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing. Selain itu juga, rumah sembelihan ini juga mempunyai sijil VHM daripada Jabatan Perkkhidmatan Haiwan dan mempunyai sijil HACCP (Hazard Analysis critical Control Point) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Boleh dikatakan produk yang dikeluarkan adalah bermutu tinggi.


Okey, kita berbalik kepada tajuk penyembelihan moden. Rumah sembelihan besar yang beroperasi ini menyembelih ayam dalam kuantiti yang banyak. Antara 10 000 – 80 000 ekor ayam disembelih sehari. Oleh itu, adalah mustahil jika cara lama digunakan. Sepanjang saya bekerja dalam industry halal ini, boleh dikatakan masyarakat kurang memahami akan penyembelihan moden. Mereka akan mengatakan kilang ini menyembelih menggunakan mesin. Ini adalah fahaman yang SALAH. Rumah sembelihan besar ini tetap menggunakan penyembelih yang beragama islam (warganegara Malaysia) yang mendapat tauliah daripada Jabatan or Majlis Agama Islam Negeri.

Okey, di sini saya akan menceritakan flowchart penyembelihan ayam.

1. Ayam yang sihat sahaja akan digantung.



• Membuat pemeriksaan Ante Mortem

• Mendapat rehat yang cukup

• Diletakkan dikawasan yang teduh

• Disiram air



Tujuan:

• Proses pengeluaran darah berlaku sempurna

• Daging selamat dimakan



2. Stunning


Okey, stunning inilah yang menimbulkan ketidakfahaman di kalangan masyrakat. Stunning ini adalah satu proses untuk melemahkan ayam bagi tujuan untuk memudahkan proses sembelihan. Penggunaan stunning ini memerlukan syarat yang ketat dan sentiasa dikawal oleh badan islam yang diiktiraf.



Water stunning ini digunakan untuk menenanangkan dan mengurangkan tekanan ketika sembelihan. Ayam berada dalam water stunner selama 3-5 saat. Selepas proses stunner, seorang halal ‘checker ‘ diletakkan untuk memastikan hanya ayam yang hidup sahaja disembelih.



Tujuan stunning



• Untuk meningkatkan produk keluaran daging bg memenuhi pasaran dan dpt menyelesaikan masalah kekurangan pekerja

• Menunaikan permintaan yg tinggi terhadap produk berasaskan daging

• Dapat mengelakkan ketegangan otot

• Mengurangkan keseksaan kepada haiwan

• Menghalang daging daripada menjadi keras disebabkan oleh proses rigormortis melalui pengecutan otot

• Menjadikan daging lebih berkualiti sekiranya tidak berlaku ketegangan atau binatang tersebut tidak meronta ketika disembelih



Syarat stunning




  • Memenuhi syarat-syarat sah sembelihan

  • Mempunyai hayat mustaqirrah

  • Pengsan apabila melalui proses stunning dan sedar semula jika tidak disembelih

  • Terdapat petugas Muslim mengawalnya semasa penyembelihan

  • Penggunaan stunning hendaklah dikawal selia oleh Badan Pengiktirafan Halal

  • Haiwan yg dikenakan stunning hanya mengalami mengalami kejutan sementara dan tidak mati atau kecederaan kekal

  • Peralatan stunning untuk binatang tidak halal tidak boleh digunakan untuk binatang halal





Jenis Stunning




  • Stunning Elektrik

  • Stunning Mekanikal

  • Stunning Angin


Selain itu juga, perlu difahami bahawa stunning ini tidak mematikan ayam. Ia hanya melemahkan ayam untuk memudahkan proses sembelihah. Untuk memastikan stunning berada dalam keadaan baik, ujian perlu dilakukan dengan menurunkan 5-10 ekor ayam selepas stunning. Jika stunning dalam keadaan yang baik ayam akan bangun semula dalam masa 1 minit lebih.



3. Penyembelihan Halal



Di bahagian ini penyembelih akan menyembelih mengikut hukum syara’ yang telah ditetapkan. Bilangan penyembelih bergantung kepada jumlah ayam yang disembelih. Manual Prosedur Halal Malaysia menetapkan seseorang penyembelih tidak boleh menyembelih ayam melebih 2000 ekor dalam masa satu jam.



‘shower’ seperti di dalam gambar adalah bertujuan untuk membasuh pisau setiap kali sembelihan.

4. Tempoh pendarahan (bleeding time)


• Proses pengeluaran darah dari badan ayam hendaklah sempurna.

• Tempoh lebih dari 3 minit – proses pendarahan yang lengkap.

• Ayam disiram dengan air untuk menghilangkan kesan darah dan najis pada bahagian luar sebelum memasuki proses penceluran.

• Seorang halal ‘checker’ ditempatkan di akhir proses pendarahan untuk memastikan hanya ayam yang telah mati dan sempurna sembelihan sahaja melalui proses seterusnya iaitu penceluran air panas





Bahagaian ketiga akan menceritakan proses seterusnya.

Thursday, May 28, 2009

HDC gempur kopitiam



Harian Metro 28/05/09

Oleh : Mohd Jamilul Anbia Md Denin



SHAH ALAM: Menyedari kemunculan pelbagai sijil halal aneh dan tiruan, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Halal Industry Development Corporation (HDC) bertindak menggempur beberapa premis termasuk restoran kopitiam milik pengusaha bukan Islam yang disyaki menggunakan sijil halal meragukan.Dalam operasi bermula jam 11 pagi semalam, sepasukan lima penguat kuasa HDC dibantu tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak menjalankan pemeriksaan di beberapa kopitiam di Cyberjaya yang dikesan mendapatkan sijil halal daripada individu tidak dikenali.Sumber KPDNHEP berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui sijil halal didakwa dibeli pengusaha restoran berkenaan pada harga RM60,000 daripada pihak tertentu.Menurutnya, sijil akuan halal berkenaan yang menyerupai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didakwa digunakan pengusaha restoran terbabit di beberapa cawangan restoran miliknya di Lembah Klang sebagai modal untuk meyakinkan pengguna Islam mengunjungi restorannya walaupun menyedari ia milik bukan Islam.


“Apa yang jelas, pemilik restoran berkenaan seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sijil halal hingga sanggup membayar wang sebanyak itu. Mereka mungkin menyedari kesukaran untuk mematuhi syarat pensijilan halal Jakim yang dikeluarkan pihak HDC menyebabkan mereka mencari alternatif lain.
“Pegawai HDC dan KPDNHEP yang menjalankan siasatan susulan turut ragu terhadap makanan disajikan berikutan pemilik gagal menunjukkan sijil halal Jakim milik syarikat yang membekalkan bahan mentah ayam dan daging,” katanya.Menurutnya, pegawai HDC yang melakukan pemeriksaan di bahagian dapur penyediaan turut menemui bahan untuk membuat air minuman yang diimport dari luar negara.“Cecair pekat itu yang tidak mempunyai perakuan halal dari negara pengeluar kemudian diambil pegawai HDC untuk diuji sama ada ia mengandungi alkohol atau bahan tidak halal,” katanya.Menurutnya, tindakan pemeriksaan sama turut dilakukan di sebuah premis makanan di Shah Alam, kira-kira jam 2 petang semalam, selepas pihak HDC mendapat maklumat premis terbabit turut tidak memiliki sijil halal Jakim.“Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan turut tidak pernah memohon sijil halal dari Jakim atau HDC sebelum ini walaupun ramai pengunjungnya adalah pengguna Islam,” katanya.Difahamkan, operasi pegawai penguat kuasa HDC itu adalah sebahagian daripada operasi dan pemeriksaan di seluruh negara bagi mengesan penyalahgunaan atau pemalsuan sijil halal Jakim.“Pemeriksaan itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik premis restoran dan syarikat pengilang makanan supaya mendapatkan sijil halal sah dari Jakim dan pihak HDC sahaja yang diiktiraf.“Sijil akuan halal selain Jakim adalah diragui berikutan diberi secara bebas kepada peniaga tanpa kawalan selain tidak mematuhi syarat prosedur halal ditetapkan,” katanya.Menurutnya, dalam operasi sama semalam, pegawai HDC turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah syarikat di Shah Alam didapati menggunakan sijil halal palsu bagi produk makanan keluarannya.“Hasil pemeriksaan dilakukan, pegawai HDC mendapati, sijil halal Jakim dimiliki syarikat lelaki Timur Tengah itu dipalsukan pihak tertentu sejak sekian lama,” katanya.

Wednesday, May 27, 2009

50 000 Palsu

Harian Metro 27/05/09
Oleh : Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini. Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.


Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.
“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

Friday, May 22, 2009

Penyembelihan Halal - Bahagian Pertama

Definisi Sembelihan

Dari segi bahasa bermaksud potong atau belah atau melukakan bahagian tertentu pada binatang oleh orang tertentu dengan alat tertentu bermaksud menyembelih binatang tersebut.

Dari segi syarak bermaksud menyembelih binatang yang mampu dikuasai dan harus dimakan dengan memutuskan urat halkum, urat mari’ dan dua urat darah di kiri dan kanan leher binatang tersebut. Ini disandarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher” (Riwayat Ibn Abbas)

Hukum Sembelihan

Hukumnya adalah wajib bagi binatang yang mampu dikuasai dan harus dimakan. Bagi binatang yang tidak dapat dikuasai adalah diharuskan melukakan pada mana-mana bahagian tubuhnya sahaja dengan maksud menyembelih. Ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T dalam surah al-maidah ayat 3.

Hikmah Sembelihan

· Penyembelihan yang dilakukan mengikut hukum syarak dapat memelihara akidah seseorang.
· Membezakan penyembelihan mengikut hukum syarak dengan sebaliknya
· Membezakan antara daging halal dengan haram untuk dimakan.
· Melepaskan nyawa binatang secara mudah tanpa menyakiti dan menyeksa.
· Melahirkan rasa ihsan ke atas binatang bagi memupuk jiwa yang mulia untuk dijadikan pengajaran kepada manusia.
· Dikhususkan sembelihan pada leher kerana ianya lebih hampir dengan tempat keluarnya roh.

Rukun Sembelihan

· Orang menyembelih
· Binatang sembelihan
· Alat menyembelih
· Bahagian / tempat disembelih


Syarat Sah Sembelihan

1. Penyembelih
Orang Islam (lelaki dan perempuan) atau ahli kitab sama ada Yahudi dan Nasrani.
2. Niat atau Qasad
Mesti melakukan sembihan hanya kerana Allah S.W.T
3. Berakal walaupun terpaksa
Berakal bukan gila atau mabuk atau budak belum mumaiyiz
4. Memutuskan urat-urat tertentu
Memutuskan urat halkum, urat mari’ dan dua saluran urat darah
5. Alat sembelihan
Setiap benda yang boleh memotong kecuali kuku, tulang dan gigi. Kebiasaannya menggunakan pisau.
6. Binatang sembelihan
Hendaklah binatang yang dapat dikuasai dan halal dimakan

Sunat Sembelihan

1. Sunat mengasah pisau supaya cukup tajam
2. Menyembelih pada waktu siang
3. Mengadap kiblat
4. Untuk binatang yang leher panjang sunat dipotong pada pangkal lehernya
5. Menyebut nama Allah
6. Membaringkan binatang di atas rusuk kirinya dan kepalanya diangkat sedikit

Perkara Makruh Dalam Sembelihan

1. Mengasah pisau di hadapan binatang yang akan disembelih
2. Menyeret binatang ke tempat sembelihan hingga meyakiti binatang yang hendak disembelih
3. Menyembelih di hadapan binatang yang lain
4. Menyembelih dari belakang tengkuk
5. Memotong leher hingga sampai ke saraf tunjang
6. Memutuskan kepala binatang
7. Mematahkan leher binatang
8. Mencampakkan binatang yang telah disembelih
9. Melapah atau memotong binatang sebelum sejuk
Bahagian kedua akan memceritakan tentang penyembelihan moden dan konsep stunning.

Thursday, May 21, 2009

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa

Berita Harian 19/05/2009
Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa
Oleh Mohd Noor Omar

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan pelbagai rencam pedagang, pembeli serta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal. Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang juga pulang dengan perasaan hampa. Ada juga syarikat yang tidak dapat memasuki negara kerana ancaman penyakit berjangkit. Paling menyedihkan, ada syarikat yang dapat masuk pameran tetapi merintih kerana menanggung kos penyewaan tapak pameran ditambah kos pengangkutan, penginapan dan penyimpanan. Nampaknya, menjadi penyedia dan penyelenggara tapak pameran lebih menguntungkan, sama seperti memperdagangkan piawaian halal untuk tujuan niaga tanpa menghiraukan kewibawaan halal itu sendiri.

Kini menjadi budaya menaja pameran halal kemudian giat disambung agensi lain di seluruh negara. Mungkin sudah tiba masanya kita merencana kembali arah tuju industri halal yang makin condong ini. MIHAS bukan tempat untuk menjual tetapi salah satu acara antarabangsa bagi memasarkan barangan dan perkhidmatan halal. Membina pasaran dan menjual adalah dua perkara berbeza. Memang mudah jika kita mengupah orang untuk melakukan sesuatu tetapi kita mestilah mengekalkan kawalan ke atasnya. Penubuhan sekretariat bukannya bertujuan semata-mata untuk melantik penyedia pameran, sebaliknya mengurus keseluruhannya supaya selari dengan matlamat perusahaan halal dan pada masa sama tidak mengorbankan kewibawaannya.

Kepada peniaga, mengambil bahagian bukan untuk tujuan menjual barangan tetapi menjadikannya medan perantara yang bakal menemukan matlamat urus niaga antara sesama peniaga. Marilah kita cuba bezakan di antara pameran MIHAS dan pasar malam. MIHAS adalah satu jenama Malaysia dan menjadi tempat untuk memperkenalkan jenama barangan Malaysia kepada seluruh dunia. Maklum balas diterima daripada peniaga terutama pengusaha tempatan ialah kadar sewa ruang pameran terlalu tinggi menyebabkan peniaga menumpukan kepada jumlah jualan untuk mengimbangi kerugian berbanding membentuk rangkaian pasaran. Sementara itu, pengusaha luar yang datang mengeluh melihatkan betapa pendekatan Islam di Malaysia terlalu terbuka sehingga mengabaikan sudut aurat, hak milik pameran dan keagungan Islam apabila melihat pengendali pameran bukan daripada mereka yang selayaknya atau orang Islam sendiri. Justeru, kenapa mereka perlu menghiraukan aurat atau menjaga penampilan lebih halal? Apa yang kita harapkan jika kita abaikan pengurusan pameran? Memang ‘halal’ memberi makna kepada mereka, tetapi tidak kepada tuntutan Islam lain kerana kefahaman berbeza. Yang menjadi dalang kepada kemusnahan imej inilah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Begitu juga persoalan dalam persijilan halal. Halal bukannya satu perniagaan tetapi piawaian. Pola fikrah pengurusan persijilan perlu dianjak daripada menghitung jumlah syarikat atau barangan yang diberi sijil halal kepada usaha mengangkat kewibawaan halal itu sendiri. Mengangkat industri halal tidak dinafikan memanglah bagus tetapi mengangkat martabat kewibawaan halal tidak boleh dikesampingkan begitu saja. Sudah sampai masanya pengurusan halal dilembagakan supaya kawalan dan penguatkuasaan menjadi lebih telus dan meyakinkan. Seiring dengan penstrukturan ekonomi, politik dan kemasyarakatan yang rancak diusahakan sekarang, adalah wajar kita melihat kembali di mana letaknya kewibawaan industri ini. Rombakan bukan saja ke atas struktur sedia ada tetapi meliputi wadah baru mengangkat kembali keyakinan kepada persijilan halal di Malaysia. Kita tidak mahu kerana kurang prihatin, akhirnya tanpa disedari kita seolah-olah menjadi tali barut yang menyusahkan pengguna Islam sendiri. Tahap keyakinan persijilan makin hari makin luntur bukan saja di kalangan rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa. Berapa banyak barangan halal di Malaysia yang jika diselidiki sebenarnya tidak halal. Itu belum dikira dari sudut ‘halalan thoyyiba’ yang menyentuh mengenai mutu. Tahap kewaspadaan pengguna yang mencari barangan halal perlu ditingkatkan. Sebagai menyahut tanggungjawab ini, badan pemantau perlu disegerakan. Mereka boleh memasuki gedung beli-belah dan melihat sendiri satu persatu kesemua barangan yang sudah diiktiraf halal. Adakah kandungannya kekal seperti semasa permohonan dibuat atau sudah berlaku perubahan. Melangkah masuk ke ruang pameran cukup untuk menceritakan bahawa Islam ditinggalkan sedang mercu tanda halal dinaikkan untuk menarik amalan urus niaga. Nampaknya, pihak terbabit perlu dulu dihalalkan barulah masyarakat akan yakin dengan pensijilan halal yang kita canang. Jika masyarakat Islam sendiri sudah mengalpakan fahaman halal sehingga mampu dijadikan sebagai sasaran serangan kembali ke atas ummah, apa faedahnya industri ini kepada ummah? Agama Islam bukan terhad kepada halal saja, tetapi mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Halal adalah ketetapan utama kepada kepenggunaan kini sudah diiktiraf dan dipiawaikan bagi tujuan persijilan di seluruh dunia. Persijilan dijadikan satu peluang perniagaan menguntungkan. Ketegasan makin luntur ditambah keinginan mengaut keuntungan, menjadikan badan persijilan menjadi makin lemah dan tidak meyakinkan pengguna. Akibatnya, pengguna menjadi bingung dengan mutu dan tahap piawaian. Pengguna bukannya menghadapi masalah kerana tiadanya logo halal tetapi kegusaran kepada sejauh mana barangan itu betul-betul mematuhi piawaian halal yang dikehendaki Islam. Badan pelaksana amanah piawaian perlu memikul tanggungjawab menjamin kewibawaan piawaian itu supaya dapat mengangkat kembali Islam di tempat selayaknya dan bukan dijadikan kenderaan mengaut keuntungan.